|
Hoax Pasal Restoran Kayu
GEORGETOWN: Pengurusan Restoran Kayu Nasi Kandar Sdn Bhd, menafikan sekeras-kerasnya khabar angin kononnya mereka menggantung tengkorak manusia serta mendapat bantuan jin sebagai pelaris untuk
menarik pelanggan.
Pengarah Urusannya, Sirajuddin Mohd Mydin, berkata khabar angin itu yang tersebar sejak kira-kira enam bulan lalu, sama sekali tidak berasas dan berniat jahat.
Beliau mengesyaki ia
disebarkan pihak tertentu yang iri hati terhadap kejayaan restoran itu dalam perniagaan nasi kandar yang kini terkenal di seluruh negara.
“Kami tidak menggunakan ilmu sihir dengan menggantung tengkorak manusia di
pintu restoran atau mendapat bantuan jin bagi menarik pelanggan.
“Perkara kami pentingkan ialah kelazatan serta kebersihan masakan. Inilah yang menjadi punca pelanggan gemar datang menjamu selera di restoran kami,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Restoran Kayu Nasi Kandar, Bukit Jambul, dekat sini, semalam.
Menurutnya, walaupun khabar angin yang dikatakan didedahkan seorang
penceramah bebas sejak kira-kira enam bulan lalu itu tidak benar, tetapi ia mempengaruhi orang ramai di seluruh negara dan menjejaskan perniagaan restorannya, terutama di Bukit Jambul.
“Penceramah bebas dari Kuala
Lumpur itu memang ada datang ke restoran ini kira-kira enam bulan lalu tetapi enggan masuk kerana mendakwa melihat tengkorak manusia tergantung di pintu restoran,” katanya.
Sirajuddin berkata, khabar angin itu adalah
mengarut, kerana yang dapat melihat tengkorak itu hanya penceramah berkenaan seorang saja.
Sirajuddin berkata, baru-baru ini timbul pula khabar angin kononnya seorang lelaki mati di restorannya di Bukit Jambul kerana
diserang SARS menyebabkan pekerjanya dikuarantin dan restoran ditutup.
Harian Metro 12 mei 2003
|