|
Wabak makhluk halus SARS Menurut Perspektif Islam
Oleh Abdul Rahman Abdul Rahim
Kini manusia di seluruh dunia benar-benar sedang diserang oleh makhluk halus. Ia benar-benar makhluk halus dan ia tidak
boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi makhluk ini benar-benar wujud. Ia bukan jin, hantu, syaitan atau orang bunian. Ia boleh menyebabkan penyakit pada manusia. Ia boleh bergerak dari manusia ke manusia tanpa dikesan.
Apa yang menakutkan makhluk halus ini boleh membunuh manusia. Setakat ini beberapa ratus manusia telah dibunuhnya.
Ia yang dikesan awal di Guangdong, China telah memasuki badan manusia dan ikut terbang keluar
dari tanah besar China ke Hong Kong, yang kemudian tersebar ke Singapura melalui kapal terbang. Tetapi untuk mengenal makhluk halus ini, seseorang tidak perlu belajar ilmu misteri, mereka hanya perlu belajar sains khususnya
bidang mikrobiologi. Virus ini ialah coronavirus dan penyakitnya ialah Sindrom Pernafasan Akut (SARS).
Virus adalah makhluk Allah yang paling kecil. Tetapi sifatnya adalah antara benda hidup dengan benda tidak hidup.
Seringkali apabila kita sebut makhluk, ia merujuk pada benda hidup. Tumbuhan dan haiwan adalah makhluk. Tetapi kita tidak katakan benda-benda tidak hidup seperti batu dan udara sebagai makhluk. Tetapi kesemuanya adalah
ciptaan Allah s. w. t.
Virus terdiri daripada bahan RNA adalah himpunan molekul-molekul kimia yang asalnya saintis belum ketahui. Tetapi ia seperti satu program yang boleh membuat organ-organ biologi termasuk badan
manusia menjadi kelam-kabut, merosakkan dan membawa kematian.
Virus dan juga bakteria, yang biasa kita sebut kuman tidak mengenal mangsanya. Mereka pun bukanlah hendak membunuh atau menyeksa manusia. Seperti tujuan
semua makhluk, mereka hanya mahu makan dan membiak. Virus SARS pula bukanlah mencari-cari tempat untuk ia membiak dan membunuh. Ia hanya bergerak seperti benda tidak bernyawa, dan apabila ia sampai pada satu tempat yang
boleh membuatnya membiak, maka itulah yang ia lakukan.
Ia tidak ketahui apa yang ia lakukan itu boleh membawa mangsanya sesak nafas dan mati. Ia juga tidak kira usia mangsanya, kanak-kanak atau dewasa. Bangsa dan
agama mangsanya juga tidak dihiraukan. Begitu juga sama ada mangsanya baik atau jahat, banyak dosa atau tidak berdosa. Virus itu hanya bertindak mengikut keadaannya.
Cara virus bertindak menurut sifat campuran bahan
kimia yang ada padanya. Semuanya menurut hukum yang ditetapkan oleh Allah s. w. t. kepadanya. Bagaimana virus itu bergerak dari Guangdong hinggalah ke Malaysia adalah kerana keadaan manusia kini yang banyak bergerak di
seluruh dunia.
Pada zaman dahulu, virus itu mungkin tidak dapat banyak bergerak. Mungkin satu kampung musnah akibat serangan virus itu tetapi ia tidak akan keluar dari Guangdong. Kini dengan kemudahan kapal terbang
dan laluan terbuka dunia, virus ini bergerak dengan lebih luas. Semuanya dapat dijelaskan tetapi manusia perlu mengkaji semua fenomena ini untuk memahami sunah alam seperti yang ditetapkan oleh Allah s. w. t.
|