Cara mudah sisihkan wang
Ketika kita berjanji untuk berhemat atas segala sesuatu yang tidak perlu dan mulai untuk menyisihkan wang, apakah kita tahu bagaimana caranya? Memang tidak mudah melakukan hal tersebut apatah lagi kalau kita terbiasa dengan
pola hidup yang boros. Berikut adalah beberapa tip mudah yang dapat membantu anda mempersiapkan diri untuk masa depan. Kegemaran mungkin akan sedikit lebih mahal dari yang anda sedari. Kurangi untuk membeli misalnya minuman
ringan, gantilah dengan minum air biasa saja. Ini jauh lebih murah, sihat untuk tubuh dan juga dompet anda. Hampir sepertiga apa yang kita beli selalu menurutkan kata hati. Jika anda merasa tergoda, tunggu sampai satu hari
meskipun sesuatu yang jelas akan berharga lebih jika menundanya. Cubalah untuk menawar seboleh mungkin kecuali barang-barang dengan harga tetap. Manfaatkan setiap kali ada kesempatan potongan harga. Beli sesuatu dalam
borongan. Barang-barang keperluan rumah tangga seperti tisu tandas, keperluan dapur, lampu, dan bahkan beberapa jenis bahan makanan dapat menjimatkan wang anda jika dibeli secara borong. Jangan terlalu kerap mengambil wang
tunai dari ATM kerana hal ini mendorong keinginan anda untuk menghabiskan wang dengan membeli barang-barang yang tidak berfaedah. Periksa penggunaan telefon rumah, internet, elektrik dan air sehingga mendapat yang terbaik
untuk dompet anda. Anda juga boleh membeli barang-barang terpakai. Misalnya keperluan rumah tangga tetapi pastikan barangan tersebut berada dalam keadaan yang baik. Anda boleh berjimat walaupun jumlahnya tidak banyak.
Berhemat ketika berbelanja
Dalam kehidupan harian seorang pengguna, membeli-belah adalah merupakan satu aktiviti rutin yang biasa dilakukan. Terdapat pelbagai kerenah dan sikap seseorang pengguna ketika berbelanja.
Ada yang mengamalkan sikap berbelanja secara boros dan tidak berjimat cermat, namun ada juga pengguna yang berhati-hati apabila berbelanja. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh membantu anda menjadi seorang pengguna
yang baik dan mendapat pulangan yang setimpal dengan nilai wang yang anda belanjakan.
Pulanglah ke rumah jika daya pembelian anda semakin kurang semasa berbelanja, seperti anda mula merasa letih atau tegang semasa
berbelanja, belanjawan yang anda rancang sebelum anda berbelanja tidak membantu anda, barang yang anda rancang beli tidak ditemui walaupun setelah mengunjungi beberapa kedai. Jangan berbelanja ketika anda merasa bosan,
kerana kemungkinan besar anda akan berbelanja mengikut gerak hati (impulse buys), iaitu pembelian tidak dirancang. Anda hendaklah membuat perbandingan harga dan kualiti terlebih dahulu sebelum membeli. Bandingkan harga dari
segi kos per unit. Elakkan berhutang apabila berbelanja. Elakkan daripada berbelanja ketika bersama rakan-rakan yang kaya atau kanak-kanak, yang mana akan mempengaruhi corak pembelian anda. Jangan bawa kad kredit anda
semasa berbelanja bagi mengelak daripada berbelanja secara berlebihan. Jangan membawa wang banyak ketika berbelanja. Bawa wang yang secukupnya untuk membayar harga barangan yang anda rancang untuk beli sahaja. Pastikan anda
menyemak resit pembelian bagi mengelakkan anda terlebih bayar. Elakkan pergi berbelanja untuk bahan makanan ketika anda lapar.
Petikan daripada Mingguan Wanita, 16 - 22 Mei 2003 (1017)
|